Thursday, 11 August 2011

Sembang Rakyat - Kedai 1 Malaysia



Hahaha, this video got DAP really pissed. Here is what Zairil Khir Johari, "Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP" had to say about this video clip.

Saya selaku Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengutuk dan mengecam hebat klip video "Sembang Rakyat - Kedai 1 Malaysia" yang boleh didapati di laman web Youtube.

Dalam klip video tersebut, yang merupakan hasil muatan naik pengguna Youtube yang bernama "Kawasaki9722", DAP didakwa bersekongkol dengan ahli-ahli peniaga Cina untuk menaikkan harga barang di negara ini demi menimbulkan rasa kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Ini merupakan satu penipuan dan fitnah ke atas DAP yang bukan sahaja langsung tidak berasas tetapi berniat jahat serta berunsur hasutan.

Seperti yang sedia maklum, antara faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga barang di negara ini adalah pengurangan subsidi minyak, gas dan barang keperluan seperti gula. Subsidi-subsidi tersebut merupakan kawalan Kerajaan Persekutuan dan tidak ada kena mengena dengan pihak lain. Di samping itu, syarikat yang mengawal industri gula pula adalah Felda, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada inflasi adalah kuasa pasaran antarabangsa yang berada di luar kawalan, dan juga ketidakcekapan dalam urustadbir ekonomi negara kita. Sebagai contoh, walaupun subsidi gas yang jumlahnya berbilion-bilion ringgit setiap tahun diberi kepada Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP), tarif elektrik di negara kita makin meningkat. Bukankah tujuan pemberian subsidi itu untuk mengurangkan beban rakyat?

Satu lagi contoh polisi yang menguntungkan syarikat besar dan membebankan rakyat adalah monopoli beras, yang dikawal oleh Bernas, sebuah lagi GLC. Oleh kerana monopoli yang mengekang pasaran beras ini, hasilnya harga beras impot di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding harga beras impot di Singapura!

Hakikatnya kenaikan harga barang dan inflasi berlaku kerana ketirisan dan kepincangan dalam dasar dan urustadbir ekonomi negara kita. Justeru, kebertanggunjawaban bagi masalah inflasi harus dipikul oleh Kerajaan Persekutuan dan bukan mana-mana pihak lain, terutamanya DAP.

Dengan itu, bagaimana pula DAP boleh dikatakan terlibat walaupun sedikit? Hipotesis sebegitu langsung tidak memasuki akal dan tidak akan diterima oleh rakyat Malaysia.

Kami percaya bahawa klip video tersebut adalah satu rancangan musuh politik DAP dan Pakatan Rakyat yang bertujuan untuk memecah belahkan rakyat melalui propaganda perkauman yang sempit. Berdasarkan kualiti terbitan klip video tersebut, jelas ia bukan terbitan sembarangan tetapi telah dibuat secara profesional dengan peralatan dan peruntukan yang mencukupi.

Dalam erti kata lain, klip video ini adalah angkara pihak-pihak tertentu yang mempunyai sumber yang mendalam dan yang sudah kekeringan modal. Satu-satunya cara yang tinggal untuk mereka adalah untuk menggunakan kaedah yang berbahaya yang bertujuan untuk menghasut dan mengapi-apikan sentimen perkauman.

Laporan polis akan dibuat pada hari ini, diikuti dengan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan siasatan yang segera serta tindakan susulan yang sewajarnya ke atas penerbit dan penyebar klip video tersebut supaya tidak berlaku kekeliruan dan kesalahfahaman antara kaum di negara ini.

* Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP

No comments:

Post a Comment